Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidilfitri & Maaf Zahir Batin


Aku manusia biasa
Tidak sesempurna Nabi yang mulia
Tidak seagung raja yang berkuasa
Tidak sehebat tokoh yang berjasa
Namun aku masih boleh berbangga
Apa kucapai hasil keringat usaha

Aku pemuda biasa
Yang tidak punya apa istimewa
Yang tidak punya harta berjuta
Yang masih belajar mengenal dunia
Namun aku berdoa agar dilimpahi tenaga
Untuk dikekalkan semangat terus berjaya

Aku insan biasa
Yang tak terlepas dari melakukan dosa
Yang tak mampu bertahan dari nafsu membara
Yang tak terlawan dari hasutan syaitan durjana
Namun aku cuba sedaya upaya
Untuk menangkis godaan yang ada

Aku hamba biasa
Makhluk tuhan yang Esa
Yang banyak cacat dan cela
Yang hidupnya banyak sengketa
Namun aku tetap bersyukur kehadratNya
Dengan segala apa yang dikurnia

Dan
Kerna aku hanya manusia, pemuda, insan dan makhluk biasa yang serba kekurangan
Izikan aku mengambil kesempatan
Sempena menjelangnya hari lebaran
Yang kita nantikan penuh kesabaran
Andai bicara pernah menyinggung perasaan
Sepuluh jari aku hulurkan
Andai tindakan pernah kurang menyenangkan
Aku mengharap sejuta kemaafan
Andai pernah terminum dan termakan
Aku pohon minta dihalalkan

Kita hidup hanya sementara
Manalah tahu esok atau lusa
Nyawa dicabut untuk selamanya
Andai ada dendam di dada
Mohon maaf ikhlas dipinta
Selamat Hari Raya Aidilfitri yang mulia
Dari aku, Halim Abdullah buat saudara-mara dan kenalan yang diingati semua

p/s: Di kesempatan ini, aku ingin menyusun sepuluh jari, memohon maaf kepada peserta Top20 Candid Photo Contest..Sesungguhnya aku hanya manusia lemah, yang hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t sahaja yang menentu segala-galanya. Sesungguhnya aku tidak menyangka bahawa bergelar pelajar doktoral penuh dengan cabaran dan dugaan. Selama hampir setahun aku mengabdikan diri membaca jurnal, menyiapkan proposal, berjumpa supervisor..insyaAllah aku bakal membentangkan usulan aku. Dan insyaAllah aku juga akan cuba mencari Top5 photos terbaik selepas membentangkan proposal PhD aku nanti. Cuma aku perlukan idea mengenai mekanisme penghantaran hadiah itu nanti..Harap Maaf..



0 comments:

Related Posts with Thumbnails